KETUA Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, mengulangi pendiriannya untuk tidak mengadakan Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) ketika Covid-19 masih membelenggu negara.
Beliau memaklumkan sudah meminta nasihat pakar termasuk Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai langkah perlu untuk mengadakan pilihan raya ketika wabak itu belum reda sepenuhnya.
Malah katanya, beliau sudah meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyediakan prosedur operasi standard (SOP) yang sesuai untuk melaksanakan proses demokrasi itu.
“Tetapi sekarang kami belum menerima maklum balas daripada pihak terbabit berhubung langkah perlu untuk menghindar wabak menular mendadak serta SOP perlu untuk memastikan kelancaran pilihan raya dalam keadaan wabak masih membelenggu.
“Sekarang di Sarawak, jumlah positif Covid-19 meningkat semula, malah Kuching sudah menjadi Zon Merah,” katanya seperti dilapor BH.
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, berikutan situasi masih membimbangkan, beliau tidak mahu terburu-buru mengadakan PRN dalam tempoh terdekat, meskipun Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Sabtu lalu menegaskan pilihan raya negeri Sarawak tidak boleh dielakkan.
“Ya… memang tidak boleh dielakkan, tetapi kita tidak tahu bila akan melakukannya kerana yang paling utama sekarang ialah keselamatan kesihatan rakyat.
“Kami dalam kerajaan negeri sentiasa memantau keadaan untuk mencari masa terbaik (untuk mengadakan PRN),” katanya.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan tamat tempoh pada 6 Jun tahun depan, namun mengikut Perlembagaan negeri, pilihan raya boleh diadakan dalam tempoh 60 hari selepas itu yang bermakna paling lewat pada awal Ogos tahun depan.
Sementara itu, Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, dalam kenyataan hari ini, berkata pihaknya belum memutuskan tarikh untuk mengadakan PRN-12.
“Setakat ini tidak ada mesyuarat Majlis Tertinggi GPS untuk membincangkan PRN-12. Kerajaan GPS sangat prihatin terhadap lonjakan jangkitan Covid-19 ketika ini dan dengan serius mempertimbangkan bahaya wabak itu terhadap keselamatan dan nyawa rakyat Sarawak,” katanya. – Malaysiapost

