Junior Eldstal kembali ke Liga M

0
2

BEKAS pemain kebangsaan, Junior Eldstal dijangka kembali ke Malaysia selepas kelab Metropolitan Police FC mengesahkan pemain itu akan berpindah.

Menerusi hantaran di Instagram, pasukan berpangkalan di Surrey, England itu menyatakan Eldstal telah menerima tawaran kontrak profesional dari kelab yang bersaing dalam Liga Malaysia (Liga M) 2021.

Eldstal, 29 meninggalkan Liga M pada penghujung musim 2018 dan pulang ke England selepas dikatakan mahu memberi fokus kepada perniagaan yang baru dibina serta mengalami masalah kecederaan belakang dan lutut.

Berdasarkan satu temubual disiarkan oleh Goal.com, pemain kacukan Sweden-Malaysia itu melalui Scott Ollerenshaw sudah mula mencari peluang untuk kembali ke Liga M.

Pengurus kelab itu sendiri telah memberikan pengesahan mengenai perpindahan tersebut melalui komen balas di laman sosial Instagram Metropolitan Police FC.

“Saya mahu merakamkan ucapan terima kasih atas usahanya selama tiga tahun disini, dia seorang pemain yang popular dan penting untuk kelab dan saya teruja untuk melihat perkembangannya di luar negara.”, kata pengurus kelab Gavin Macpherson.

Setakat ini masih tiada maklumat mengenai pasukan mana yang akan disertai oleh Junior Eldstal selepas kali terakhir bersama JDT. – Malaysiapost

Foto kredit : Met Police FC