Edar ketum guna beg penghantar makanan

0
2

DUA lelaki ditahan kerana mengedar air ketum menggunakan beg penghantar makanan, dipercayai sebagai taktik mengaburi pihak berkuasa, Ahad lalu.

Kedua-duanya ditahan di Jinjang apabila polis yang membuat rondaan di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 menghala ke Batu Caves mendapati motosikal ditunggang suspek dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S Shamugamoorthy Chinniah, berkata dalam kejadian kira-kira 9.30 malam itu, polis peronda meminta suspek memberhentikan motosikal tetapi mereka melarikan diri dengan melawan arus jalan sehala menghala ke Jinjang.

Polis katanya, mengejar suspek berusia 18 hingga 23 tahun itu sehingga motosikal mereka melanggar sebuah kereta sebelum kedua-duanya ditahan.

“Hasil pemeriksaan di dalam beg penghantar makanan berwarna merah jambu, polis menjumpai empat bungkusan warna hijau disyaki air ketum.

“Selain itu, siasatan mendapati suspek saling mengenali selama empat tahun dan mengakui pinjam beg penghantar makanan daripada seorang kawan,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Shamugamoorthy berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

“Polis menasihati orang ramai bahawa modus operandi digunakan suspek untuk mengedar, membawa dan mengirim dadah dengan menggunakan penghantar makanan telah dikesan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) peringkat awal oleh polis.

“Begitu juga modus operandi secara penghantaran perdana menggunakan kereta mewah sudah mula dikesan,” katanya. – Malaysiapost