Maszlee dijangka sertai PKR

0
2

Aiman Hanif

BEKAS Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dijangka akan menyertai PKR bagi meneruskan perjuangan politiknya selepas meninggalkan parti Pejuang pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut sumber dalaman PKR, Maszlee telah menyatakan sokongan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Maszlee kemungkinan besar akan menyertai PKR tidak lama lagi kerana beliau telah menyatakan sokongan kepada Anwar.

“Akuan bersumpah (SD) menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri dihantar sendiri olehnya kepada orang kuat Anwar.

“Hari itu kita menjangkakan ia akan ditendang dari Pejuang, nampaknya semalam dia sendiri mengumumkan tarik diri dari Pejuang,” katanya kepada Malaysiapost.

Semalam, Ahli Parlimen Simpang Renggam itu mengumumkan menarik diri sebagai Ahli Jawatankuasa Penaja Penubuhan Parti Pejuang.

Maszlee berkata, beliau ingin menumpukan sepenuh usaha untuk membantu rakyat yang terkesan dengan Covid-19, khususnya di Simpang Renggam dan di seluruh Malaysia.

“Saya juga akan meneruskan usaha dalam gerakan perubahan pendidikan melalui kapasiti saya sebagai Ahli Parlimen Bebas dan melalui ruang aktivisme dan kerja-kerja kemanusiaan melalui rangkaian NGO dan rakan-rakan aktivis lain.

“Saya percaya, perubahan tidak memerlukan kedudukan dan jawatan, tetapi keinginan dan kesempatan,” katanya menerusi kenyataan.- Malaysiapost