Suspek kes bunuh Surya direman 7 hari

0
2

PELAJAR perempuan tingkatan enam yang disyaki terbabit dalam pembunuhan Siti Nur Surya Ismail dengan mengelar pergelangan tangan kiri mangsa hingga putus, direman tujuh hari sehingga Isnin depan.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, lapor Harian Metro.

Suspek berusia 19 tahun yang juga rakan mangsa itu tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Marang, Terengganu pada jam 10.10 pagi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi kelmarin, Siti Nur Surya ditemui mati tertiarap dengan pergelangan tangan kirinya putus di samping kecederaan lain pada muka dan badan.

Susulan itu, polis menahan remaja perempuan berusia 19 tahun yang juga rakan Siti Nur Surya di rumah keluarganya di Kampung Lubuk Batu, Telemong, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daut berkata, suspek ditahan selepas diserahkan oleh ibunya pada jam 8.15 pagi tadi.

Katanya, sebelum kejadian, suspek pergi ke rumah mangsa dan ketika bersembang di ruang tamu, berlaku kata-mengata yang menimbulkan kemarahan suspek sebelum berlaku pergaduhan dan pergelutan.

“Suspek dikatakan mengambil pisau dapur di ruang tamu sebelum mengelar beberapa kali pada pergelangan tangan kiri mangsa sehingga putus,” katanya. – Malaysiapost