KONTRAKTOR utama dan subkontraktor projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) didenda RM180,000, menurut kenyataan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).
Ini kerana mereka gagal menjalankan kewajipan memastikan keselamatan di tapak bina berikutan insiden konkrit struktur pembinaan lebuh raya tersebut jatuh dan menimpa sebuah kereta, 19 September lalu.
CIDB menerusi kenyataan berkata kontraktor utama, MRCB Builders Sdn Bhd dikenakan penalti RM80,000, manakala subkontraktor Makna Setia Sdn Bhd sebanyak RM100,000.
Kedua-dua kontraktor masing-masing didenda mengikut Seksyen 34B(1)(c) dan Seksyen 34C(1) Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994 (Akta 520), iaitu kewajipan kontraktor memastikan keselamatan bangunan dan kerja pembinaan sama ada semasa atau selepas pembinaan.
Hasil siasatan juga mendapati, subkontrator itu tidak mengikut prosedur kerja yang betul dan mempunyai penyelia tapak tidak diakredit.
“Subkontraktor tersebut diarah membuat penambahbaikan dalam prosedur keselamatan termasuk menghantar pekerja, penyelia tapak dan pengurus pembinaan untuk diakreditasi,” katanya.
Dalam kejadian itu, seorang wanita nyaris maut apabila kepingan konkrit jatuh dan menghempap keretanya.
Ketika kejadian jam 4.30 petang itu, mangsa memandu Proton Saga FLX dari Jalan MRR2 menghala Ampang dan semasa berdekatan hentian Terminal Bersepadu Selatan (TBS), kepingan konkrit pembinaan lebuh raya jatuh menghempap keretanya. – Malaysiapost

