BNBBC: Kenapa Kit Siang takut sangat pada Najib?

0
3

DATUK Dr Mohd Puad Zarkashi mendakwa Lim Kit Siang bimbang pelantikan Datuk Seri Najib Razak sebagai pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) akan menonjolkan kredibiliti Ahli Parlimen BN.

Ahli Majlis Tertinggi Umno itu berkata, Kit Siang bimbang BNBBC akan lebih menonjol dan kredibiliti MP BN naik sebagaimana popularnya platform ‘Bossku’ kepada rakyat sekali gus menyebabkan dirinya tenggelam.

“Lim Kit Siang terkejut beruk bila Najib dilantik sebagai Pengerusi Kelab Penyokong BN (BNBBC).

“Menurutnya perlantikan Najib itu mengejutkan dan memalukan Parlimen.

“Dia minta Parlimen tidak mengiktiraf perlantikan Najib. Rasuah Lim Guan Eng dia tidak malu pula,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

Puad berkata, Tun Dr Mahathir Mohamad pula pastinya akan menyokong Kit Siang.

“Namun, malangnya Pejuang belum lulus tapi dua orang Ahli Parlimennya, (Dr) Maszlee (Malek) dan Syed Saddiq telah cabut lari.

“Esok lusa (Datuk) Dr Shahruddin (Md Salleh) dan Datuk Amiruddin (Hamzah) pun cabut sama,” katanya.

Mohd Puad berkata, Kit Siang dilihat sangat takut kepada Najib walaupun Ahli Parlimen Pekan itu bukan lagi Perdana Menteri.

“Takut betul mereka pada Najib. Bukannya Najib jadi PM, Pengerusi BN atau Presiden Umno.

“Takut apa? Najib cuma ketua kepada 23 ahli Parlimen ‘backbenchers’ sahaja.

“Semoga PM tidak terikut ikut dengan perangai takut Lim Kit Siang dan Tun M. Kalau ada “Kejujuran Politik” takut apa,” katanya.

Semalam, Kit Siang menggambarkan pelantikan Najib sebagai pengerusi BNBBC adalah sangat memalukan dan tidak berintegriti.

Menurutnya, ia mengejut dan memalukan serta bukti integriti dan agenda antirasuah adalah prinsip yang sangat jauh daripada Umno, MCA, dan MIC, selain Parlimen tidak sepatutnya mengiktiraf pelantikan tersebut.

“Apa yang membuatkan pelantikan ini lebih mengejutkan dan memalukan adalah dibuat tiga bulan selepas pendakwaan beliau.

“… dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta pada 28 Julai lalu atas kesalahan rasuah, pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kuasa berkaitan kes SRC-1MDB yang bernilai RM42 juta,” katanya. -Malaysiapost