Remaja perempuan ditahan kes bunuh Surya

0
2

SEORANG remaja perempuan ditahan bagi membantu siasatan kes bunuh Siti Nur Surya Ismail, 19, di rumah keluarganya di Kampung Lubuk Batu, Telemong, Terengganu semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daut berkata, suspek berusia 19 tahun yang juga kenalan mangsa ditahan selepas diserahkan oleh ibunya pada jam 8.15 pagi tadi.

Katanya, tangkapan dibuat berdasarkan bukti di lokasi kejadian dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumah burung berhampiran kediaman mangsa.

“Suspek datang ke Balai Polis Telemong ditemani ibunya untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.

“Bagaimanapun, keterangan wanita terbabit mencurigakan selain terdapat beberapa kesan kecederaan termasuk gigitan pada lengan dan badan suspek sebelum ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Menurutnya, susulan penahanan itu, polis menjalankan siasatan di rumah suspek sebelum menemui beberapa barangan termasuk wang tunai dan peralatan solek dipercayai milik mangsa.

Katanya, sebelum kejadian, suspek dikatakan pergi ke rumah mangsa dengan menaiki motosikal.

“Ketika bersembang di ruang tamu, berlaku kata-mengata yang menimbulkan kemarahan pada suspek sebelum berlaku pergaduhan dan pergelutan.

“Suspek dikatakan mengambil pisau dapur di ruang tamu sebelum mengelar beberapa kali pada pergelangan tangan kiri mangsa sehingga putus,” katanya.

Menurutnya, suspek yang masih belajar di tingkatan enam disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Katanya, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Marang, esok untuk permohonan reman. – Malaysiapost