Muhammad Mustakim Ramli
MESYUARAT Ketiga Persidangan Dewan Rakyat Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 yang bermula hari ini, dimulakan dengan semua ahli dewan diingatkan untuk mengenepikan perbezaan politik dan perbalahan.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, berkata semua ahli dewan perlu bersatu hati dan memainkan peranan masing-masing dalam membantu pihak berkuasa menangani pandemik Covid-19.
“Ini demi kesejahteraan diri dan keselamatan negara yang dicintai dan ia selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong.
“Saya juga mengingatkan semua ahli Yang Berhormat untuk mematuhi SOP (prosedur operasi standard) untuk menghindari wabak ini.
“Sama-sama kita berdoa wabak ini dibendung dan tak beri ancaman kepada kita,” katanya.
Persidangan hari pertama Dewan Rakyat bagi sesi Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 bermula hari ini akan menjawab banyak persoalan mengenai Covid-19 dan usaha kerajaan dalam menanganinya, termasuk dalam hal berkenaan pilihan raya.
Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat, hampir majoriti soalan dalam turutan awal pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan adalah berkenaan Covid-19. -Malaysiapost

