Polis rampas dadah lebih 300kg

0
2

POLIS menumpaskan sindiket pengedaran dadah bernilai RM822,000 dalam sembilan serbuan yang dijalankan serentak di Pulau Pinang, Kedah dan Perak.

Menerusi serbuan itu, sebanyak 309 kilogram (kg) dadah jenis ganja dan 495 gram syabu dirampas membabitkan penahanan 11 suspek warga tempatan dan seorang warga Thailand.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman (Perisikan/Operasi), Deputi Komisioner Zainudin Ahmad, berkata serbuan itu dilakukan oleh pasukan JSJN Bukit Aman, JSJN Pulau Pinang dan JSJN Perak pada 27 dan 28 Oktober lalu.

Beliau berkata, semua suspek berusia 22 hingga 46 tahun itu terdiri daripada 11 lelaki dan seorang wanita.

Katanya, serbuan pertama dilakukan pada jam 11.15 malam 27 Oktober lalu membabitkan penahanan kenderaan yang dipandu seorang lelaki warga Thailand di Bagan Nyiur, Juru, Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang.

Suspek turut didapati membawa 15 bungkusan plastik hitam yang mengandungi 313 ketulan mampat ganja seberat 308.945 kg.

“Serbuan seterusnya pada jam 11.45 malam di sebuah rumah di Taiping, Perak, membabitkan penahanan dua suspek lelaki dan wanita warga tempatan dengan rampasan syabu seberat 495 gram.

“Susulan daripada penahanan itu, seramai sembilan lagi suspek ditahan pada serbuan di Seberang Perai Tengah dan Kupang, Kedah,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Zainudin berkata, polis juga menyita 15 kenderaan pelbagai jenis bernilai RM1.5 juta, wang tunai berjumlah RM65,090 dan sebentuk cincin bernilai RM500.

Katanya, siasatan mendapati suspek warga Thailand itu sudah lima tahun bekerja di restoran di sini dan membawa masuk dadah dari negara jiran menerusi laluan laut.

Beliau berkata, sindiket berkenaan mengedar dadah di Pulau Pinang, Perak dan sekitar Lembah Kelang.

Katanya, saringan ujian air kencing mendapati empat daripadanya didapati positif methamphetamine, manakala dua lagi positif Tetrahydrocannabinol (THC).

“Lapan daripadanya didapati mempunyai rekod jenayah lampau bersangkut jenayah dan dadah.

“Semua suspek direman selama tiga hingga tujuh hari bagi membantu siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mati mandatori jika disabitkan kesalahan,” katanya. -Malaysiapost