DATUK Tamrin Tun Ghafar menghantar notis tuntutan undang-undang kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berhubung kenyataan yang mengaitkannya dengan projek rundingan langsung stesen pemindahan sisa pepejal.
“Satu notis tuntutan bertarikh 13hb Oktober telah di hantar oleh peguam saya, Ram Karpal Singh dari Tetuan Karpal Singh & Company kepada Zuraida.
“Notis tuntutan tersebut telah diakui terima oleh setiausaha politik beliau pada 14 Oktober,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurut Tamrin, notis tuntutan juga telah dihantar kepada Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, beberapa “blogger” dan pihak lain yang didakwa telah memfitnahnya, termasuklah Ahli MT Bersatu, Tan Sri Aziz Yassin.
“Saya akan teruskan tindakan undang-undang terhadap mereka jika sekiranya mereka gagal memenuhi tuntutan saya.
“Saya bersedia bekerjasama dengan polis dan SPRM jika diperlukan,” katanya.
Sebelum ini, Zuraida mendakwa bahawa Tamrin, sebagai penasihat Bumi Segar Indah, telah berjumpa menteri kewangan ketika itu, Lim Guan Eng untuk secara langsung merundingkan projek stesen pemindahan sisa pepejal di Taman Beringin, Jinjang Utara, pada 26 November 2018.
Ahli Parlimen Ampang itu mendakwa Lim telah menasihati Bumi Segar Indah untuk menghantar cadangan formal dan akhirnya menyetujui projek itu melalui surat bertarikh 20 Februari 2019. -Malaysiapost

