KKM harap Akta 342 dipinda segera

0
3

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) berharap Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dapat dipinda dalam waktu terdekat berikutan masalah jangkitan penyakit kini tidak lagi terhad kepada lokaliti tertentu saja.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pindaan akta itu sudah dirancang sebelum pandemik Covid-19 berikutan banyak perkara perlu diperhalusi menerusi akta berkenaan.

“Tetapi apabila pandemik berlaku, kita gunapakai akta ini. Jadi, memang ada perancangan awal untuk pinda.

“Memang kita sudah hantar kepada AG (Peguam Negara) dan berharap dapat dilakukan pindaan secepat mungkin,” katanya dalam sidang media harian, hari ini.

Menurut Dr Noor Hisham, Akta 342 digubal pada tahun 1988, tetapi ketika itu hanya membabitkan penyakit berjangkit satu lokaliti sahaja.

“Sekarang ini kita lihat satu negara dan dunia dijangkiti, jadi, kerajaan perlu gubal balik Akta 342 untuk memperkukuhkan dan boleh digunapakai di masa depan,” katanya. – Malaysiapost