MAJLIS Presiden Pakatan Harapan (PH) mahu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin segera berbincang dan berunding segera dengan pembangkang berkaitan kandungan Belanjawan 2021 sebelum ia dibentangkan di Parlimen, 6 November ini.
Menerusi kenyataan, Majlis Presiden PH berkata Perdana Menteri harus menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong yang menasihati semua Ahli Parlimen memberi sokongan kepada Belanjawan 2021, demi kelangsungan kesejahteraan rakyat dan pemulihan ekonomi negara.
“Belanjawan 2021 perlu memberi fokus kepada keperluan petugas barisan hadapan yang menjadi benteng rakyat Malaysia dari wabak Covid-19.
“Ia juga perlu menetapkan halatuju yang mampu memastikan Malaysia terus maju sewaktu dan selepas pandemik.
“Ini termasuk mengenalpasti strategi pembangunan baharu untuk ekonomi serta membantu jutaan rakyat yang terkesan sama ada kehilangan pekerjaan mahupun pendapatan pada tahun ini,” katanya.
Kenyataan itu ditandatangani Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Ketiga-tiga pemimpin berkata berjuta-juta rakyat Malaysia yang berada pada atau di bawah paras kemiskinan amat mengharap bantuan melalui belanjawan ini.
“Golongan yang tidak harus ketinggalan juga adalah yang mengharapkan moratorium pinjaman dilanjutkan.
“Atas sebab-sebab ini Majlis Presiden PH amat setuju dengan Seri Paduka Baginda bahawa amatlah penting dan serius untuk Belanjawan 2021 ini dirundingkan dengan pembangkang sebelum dibentang di Parlimen,” katanya. – Malaysiapost

