Kes positif Covid-19 di Malaysia lepasi 30,000

0
2

MALAYSIA mencatatkan 694 kes baharu Covid-19 sehingga jam 12 tengah hari tadi, dengan 352 kes dilaporkan di Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia menjadikan kes Covid-19 di Malaysia sejak wabak itu melanda negara meningkat kepada 30,090.

“Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula adalah 10,087 kes,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata terdapat tujuh kes
import yang mendapat jangkitan dari luar negara yang melibatkan dua rakyat Malaysia dan lima bukan warganegara.

Daripada keseluruhan kes di Sabah, 55 kes daripada kluster-kluster, termasuk 11 kes dari kluster baharu iaitu Kluster Sakti dan Kluster Tuguson, selain 170 kes daripada saringan kontak rapat kes positif Covid-19, manakala 127 kes daripada lain-lain saringan.

Katanya, Selangor pula mencatatkan 132 kes iaitu kedua tertinggi, 70 kes adalah daripada kluster-kluster, termasuk enam kes dari kluster baharu iaitu Kluster Taman Laut dan Kluster Bah Medan.

Negeri Sembilan mencatatkan 43 kes, Kedah (37), Kuala Lumpur (21), Labuan (17), Pulau Pinang (13), Johor (10), Sarawak (8) dan Perak lima kes.

Pahang, Terengganu, Melaka dan Putrajaya masing-masing mencatatkan satu kes.

“Tiada pertambahan kes kematian berkaitan
Covid-19 dilaporkan hari ini. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia kekal 246 kes atau 0.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya. – Malaysiapost