Pemuda Umno bantu pakcik Ladja

0
3

Fitri Nizam

SELEPAS kisahnya tular di media sosial kerana mengejar bot ronda Polis Marin akibat kehabisan makanan, seluruh penduduk Kampung Halo, Semporna kini mendapat bantuan.

Bantuan tiba daripada pelbagai pihak yang tersentuh dengan kisah pakcik Ladja mendayung perahu ke tengah laut mengejar Polis Marin untuk meminta bantuan.

Terbaharu, di hantaran Facebook Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, beliau memberitahu nasib suku Bajau Laut di kampung berkenaan mendapat perhatian Pemuda Umno.

“Lantas, saya telah menghubungi sahabat saya saudara Suffian Hindi, Ketua Pemuda Umno Semporna untuk menjejaki Pakcik Ladja dan bersama membantu penduduk yang terkesan akibat pendamik yang kian menular kini.

“Saya dimaklumkan, perjalanan yang perlu dilalui sukar dan terpaksa menggunakan bot laju untuk sampai ke destinasi, namun saya berbangga Pemuda Umno Sabah ini tidak luntur semangat untuk membantu rakyat yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata, prosedur operasi standard (SOP) dan langkah pencegahan terus dijaga rapi agar bantuan dapat disalur sempurna terutama perkampungan yang dikunjungi adalah kategori zon Merah.

“Terima kasih juga kepada Polis Marin Semporna yang membantu mempermudah urusan penyampaian bantuan.

“Sekali lagi syabas kepada Pemuda Umno Semporna juga seluruh Pergerakan Pemuda Umno Sabah atas usaha yang berterusan ini dan terus memperjuangkan agenda #PemudaBantuRakyat.

“Semoga sempena dengan Maulidur Rasul yang mulia ini, Allah SWT memberkati perjuangan kita semua dan jasa yang telah dicurahkan,” katanya.

Dalam satu video yang dimuat naik di media sosial, seorang lelaki terpaksa mendayung sampan mengejar pihak berkuasa berkenaan.

Ketika bertemu pihak berkuasa, lelaki bernama pakcik Ladja itu memohon maaf kerana terpaksa melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), ekoran telah terputus bekalan makanan.

“27 buah rumah semuanya, kami tiada bantuan tuan. Kami tiada makanan tuan…sebab itu kami terpaksa turun ke Laut.

“Kalau ada bantuan yang diberikan kerajaan, kami ikut dan patuh dengan peraturan PKPD,” katanya dalam video itu.

Pihak berkuasa kemudiannya menghantar bantuan makanan ke perkampungan berkenaan. – Malaysiapost