Covid-19: Nilai kebolehjangkitan menurun kepada 1.1

0
3

KADAR R-naught untuk kebolehjangkitan Covid-19 di Malaysia kini telah menurun kepada 1.1, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, kadar nilai kebolehjangkitan itu menurun berbanding 2.2 pada permulaan gelombang ketika Covid-19 bulan lalu.

“Kita perlu mempergiatkan lagi usaha kesihatan awam di lapangan. Berusaha dan bertawakal. Insya-Allah,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

R-naught atau R0 merujuk kepada kebolehjangkitan sesuatu virus pada permulaan sesuatu wabak di dalam masyarakat.

Ia merujuk kepada keberjangkitan, iaitu secara puratanya berapa ramai orang yang boleh dijangkiti oleh virus yang dibawa oleh kes dalam wabak tersebut.

Pada 21 Oktober lalu, nilai R0 di Selangor adalah 1.4 berbanding Sabah 1.3 walaupun kes di Sabah jauh lebih tinggi.

Ini disebabkan kepadatan penduduk dan pergerakan yang tinggi di Selangor.

Pada 11 Oktober lalu, Dr Noor Hisham dilaporkan berkata Kementerian Kesihatan (KKM) berusaha memastikan kadar nilai kebolehjangkitan tidak mencecah 2.2.

Katanya, ini berikutan kemudahan kesihatan mungkin tidak mampu menampung jumlah pesakit Covid-19 sekiranya R0 mencecah paras itu. – Malaysiapost