SERAMAI 44 anggota polis di Selangor sedang menjalani kuarantin kendiri ketika ini selepas mempunyai kontak rapat dengan orang awam yang terdedah dengan jangkitan Covid-19.
Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaluddin berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menasihati mereka untuk berbuat demikian agar tidak memberi kesan kepada penugasan anggota lain di lapangan seluruh Selangor.
“Sebagai contoh, setakat ini hanya seorang anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang, sementara seorang isteri kepada anggota bertugas di IPD Kajang didapati positif pandemik itu,” katanya ketika dalam sidang media Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Serdang di IPD Serdang, hari ini.
Mengulas pertanyaan adakah terdapat IPD atau balai polis ditutup kerana Covid-19, Noor Azam berkata tiada keperluan untuk menutup mana-mana IPD atau balai polis berikutan kes positif berkenaan.
“Macam pernah berlaku dulu di Balai Polis Pandamaran, Klang, di mana seramai 33 anggota polis didapati positif Covid-19.
“Untuk menangani masalah itu, kami menutup operasi di balai terlibat dan meminta orang ramai yang hendak berurusan di situ pergi ke balai polis berhampiran.
“Tindakan itu terpaksa diambil berikutan ramai anggota polis yang bertugas di balai itu (Balai Polis Pandamaran) terpaksa dikuarantin,” katanya seperti dilaporkan Bernama, hari ini.
Noor Azam berkata, polis Selangor telah menugaskan seramai 60 anggota polis setiap syif bagi penugasan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di seluruh Selangor.
Mengulas mengenai pencemaran sungai di Selangor, beliau berkata pihaknya telah menubuhkan satu pasukan khas bersama agensi penguat kuasa lain untuk menangani kes berkenaan.
“Kami telah berbincang dengan pihak Lembaga Urus Air Selangor untuk menyelesaikan siasatan bersama masalah pencemaran sungai di negeri ini.
“Pasukan khas ini akan mencari dan mengenal pasti punca sebenar pencemaran Sungai Kundang dan Sungai Gong dan kami telah membuka kertas siasatan untuk kedua-dua kes ini,” katanya.
Terdahulu, ACP Razali Abu Samah dilantik menjadi Ketua Polis Daerah Serdang yang baru menggantikan ACP Ismadi Borhan yang dilantik sebagai Penolong Pengarah Kepolisan Am, Bahagian Pengurusan Dasar/Sumber, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman. – Malaysiapost

