Kaitkan hakim dengan bekas PM, Ramesh Rao ke Bukit Aman

0
3

Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin, Ramesh Rao Krishnan Naidu, dipanggil polis untuk memberi keterangan, esok.

Ini berhubung ciapan di Twitter yang mengaitkan seorang hakim dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perkara itu disahkan Timbalan Pengarah Siasatan dan Perundangan, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid, lapor Malaysiakini.

“Suspek akan datang ke Bukit Aman pada 4 Ogos,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial satu ciapan yang mendakwa Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali mempunyai pertalian darah dengan bekas perdana menteri tersebut.

Kenyataan tersebut tersebar setelah Mohd Nazlan memutuskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersalah atas semua tujuh tuduhan terhadapnya dalam kes SRC International.