Ambil keberkatan replika menyerupai peninggalan Nabi dilarang – Mufti Perlis

0
3

Muhammad Mustakim Ramli

PERBUATAN mengadakan logo, replika, lambang atau seumpamanya yang dikatakan menyerupai barangan atau kesan peninggalan Nabi Muhammad SAW, lalu mengambil keberkatan daripadanya adalah perkara yang dilarang.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, berkata pada umumnya bertabarruk (mengambil keberkatan) dengan peninggalan Nabi SAW sama ada jasad Baginda atau barang peninggalan yang disentuh oleh jasad Baginda, adalah dibolehkan dengan syarat menyakini bahawasanya keberkatan itu semuanya datang dari Allah bukan daripada barang itu.

“Namun, keterlaluan (ghuluw) sehingga menjadikan tabarruk upacara ibadah yang diberikan tumpuan adalah dilarang. Atas alasan inilah Saidina Umar al-Khattab telah memerintahkan agar dihapuskan pokok yang disangka menjadi tempat Bai’ah al-Ridhwan kerana dibimbangi berlaku syirik.

“Walaupun begitu, para ulama semasa telah membuat kajian dan mentarjihkan bahawa tiada lagi sebarang peninggalan dari jasad atau barangan kegunaan Nabi yang boleh disabitkan kewujudannya dengan bukti yang sahih.

“Jika hal ini dibiarkan maka berbagai-bagai replika, rajah, ilustrasi dan tangkal akan muncul seperti replika Kaabah, capal, unta, tapak kaki dan seumpamanya dengan tujuan mengambil berkat,” katanya menerusi Facebook.

Mohd Asri berkata, tindakan itu akan membuka ruang untuk manusia membina berhala atas alasan mengambil keberkatan.

“Manakala sekadar mengadakan logo yang tidak bercanggah dengan syariat Islam tanpa tujuan tabarruk seperti lambang bulan, bintang, bulan sabit, Kaabah, pokok kurma , pedang dan seumpamanya adalah dibolehkan,” katanya. – Malaysiapost