YANG Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun mengesahkan menerima usul undi percaya bagi menyokong Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata usul berkenaan telah dikemukakan dari Ahli Parlimen sebelah kerajaan.
“Kita memang ada terima usul undi percaya terhadap Perdana Menteri, usul itu datang daripada sebelah kerajaan.
“Tetapi kita akan tunggu usul yang lebih penting daripada pihak kementerian untuk dimasukkan dalam aturan mesyuarat,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.
Beliau bagaimanapun tidak memaklumkan pihak yang mengemukan usul menyokong Muhyiddin.
Sebelum ini hanya PAS pernah mengemukakan usul berkenaan semasa sidang Parlimen terakhir pada bulan Julai lalu, tetapi ia tidak dibahaskan.
Di bawah aturan mesyuarat, urusan kerajaan diberi keutamaan untuk dibahaskan di Dewan Rakyat terlebih dahulu.
Sementara itu, Azhar juga mengesahkan Dewan Rakyat telah menerima lebih daripada 16 usul tidak percaya terhadap Muhyiddin.
Azhar, bagaimanapun, memaklumkan banyak lagi usul penting telah diterima selain meletakkan fokus kepada pembentangan Belanjawan 2021.
Sebelum ini dilaporkan Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad dan empat anggota parlimen yang berpihak kepada bekas Perdana Menteri itu telah mengemukakan lima usul seumpama itu.
Selain, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah juga mendesak supaya usul undi tidak percaya dikemukakan terhadap Muhyiddin. -Malaysiapost

