KETUA Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
ADUN Sulaman itu mengangkat sumpah hari ini selepas tidak dapat hadir dalam majlis sama pada 9 Oktober lalu kerana menjalani kuarantin kendiri dua minggu selepas terdedah kepada individu positif Covid-19.
Sebelum ini, seramai 70 Adun dan empat Adun Dilantik mengangkat sumpah.
Majlis angkat sumpah di hadapan Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M Yahya itu berlangsung pada jam 11.20 pagi tadi.
Turut mengangkat sumpah hari ini ialah Adun Sulabayan, Datuk Jaujan Sambakong dari Parti Warisan Sabah (Warisan); serta dua lagi Adun Dilantik iaitu Datuk Yong Teck Lee dan Datuk Amisah Yassin.
Bagaimanapun, Adun Bugaya, Manis Buka Mohd Darah juga dari Warisan tidak dapat hadir kerana masih menjalani tempoh kuarantin di hospital. – Malaysiapost

