Segerakan bantuan kepada Sabah – DPMS

0
3

DEWAN Perniagaan Muslim Sabah ( DPMS) memohon kerajaan negeri dan Pusat untuk memberi tumpuan membantu rakyat Sabah dan sektor perusahaan kecil dan sederhana ( PKS) yang terkesan teruk akibat Covid-19.

Penasihat Kehormat DPMS, Mohd Ansar Maidin berkata rakyat Sabah dan pengusaha PKS berada dalam keadaan susah akibat pelaksanaan sekatan pergerakan di negeri itu.

Katanya, bilangan kes Covid-19 yang semakin meningkat  juga merisaukan rakyat berhubung kedudukan ekonomi negeri dalam beberapa bulan akan datang.

“Sektor PKS walaupun diberi peluang untuk dibuka, tetapi ramai memilih menutup perniagaan kerana risau penularan wabak.

“Perniagaan yang dibuka kurang sambutan dan sekadar mampu bertahan sementara waktu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Berikutan itu, Mohd Ansar memohon kerajaan melaksanakan lanjutan moratorium secara automatik kepada seluruh peminjam di Sabah untuk tempoh tiga hingga enam bulan, terutama kepada sektor PKS.

Katanya, jika dibiarkan kepada pihak bank, mereka tidak mampu memenuhi keperluan rakyat secara menyeluruh.

“Ada pihak bank yang mengenakan faedah tinggi untuk tambahan penangguhan bayaran di mana ia juga satu bebanan kepada para peminjam.

“Selain itu, DPMS memohon kerajaan menambah Bantuan Prihatin Nasinal (BPN) kepada golongan B40 dan M40 untuk meringankan beban mereka di samping merangsang sedikit ekonomi yang lembab di Sabah buat masa ini.

“DPMS menyambut baik semua bantuan Prihatin kerajaan sebelum ini dan memohon agar ia ditambah dan disemak mengikut keperluan dan situasi terkini. Buat masa ini,  seluruh rakyat Sabah telah menerima kesan yang teruk,” katanya.

Beliau berkata, DPMS juga meminta kerajaan mempertimbangkan untuk memberi peluang kepada rakyat mengeluarkan simpanan akaun 1 di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara ‘one off’ untuk membantu meringankan beban kepada yang mempunyai keperluan terdesak.

DPMS juga, katanya, memohon Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah membantu peniaga membatalkan bayaran tertentu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) bermula Mac lalu.

“Antara bayaran tersebut ialah lesen restoran, iklan perniagaan seperti papan tanda, sewa ruang legar dan kaki lima terutama kepada restoran dan bayaran lain dikenakan kepada premis perniagaan bagi 2020 untuk mengurangkan kos perniagaan.

“Ini agar perniagaan dapat bertahan dalam situasi pandemik. Untuk rekod, PBT masih mengenakan bayaran tersebut walaupun perniagaan ditutup,” katanya. – Malaysiapost