Orang sakit pun ‘geli hati’ tonton Mael Totey The Movie

0
3

Nurul Huda Abhar

BINTANG Youtube dan pengarah filem Mael Totey The Movie, Syahmi Sazli bersyukur kerana karya pertama arahannya diterima baik segenap lapisan masyarakat dan ramai yang terhibur dengan telatah watak-watak yang ditampilkan.

Menerusi perkongsiannya di laman sosial Facebook, Syahmi memuatnaik tangkap layar komen yang diterima penonton setelah menyaksikan filem Mael Totey The Movie.

Pemilik akaun bernama Muhammad Amirul Hakimi memberitahu ayahnya yang sedang terlantar sakit juga terhibur dan “geli hati” menonton filem tersebut.

“Terima kasih untuk Mael Totey Mi (Syahmi). Tok abah saya dua tahun dah terbaring sakit. Tak bercakap, tak bangun. Tidur sahaja.

“Tapi hari ini mak saya beritahu lepas bagi tonton Mael Totey dia suka sungguh Mi. Lama dah tak tengok dia ceria macam tu,” tulisnya semalam.

Selain itu, dia juga mengucapkan terima kasih kepada Syahmi kerana filem tersebut telah menggembirakan insan kesayangannya yang terlantar sakit sekian lama.

“Terima kasih banyak-banyak Mi. Tak rugi RM15 ringgit kalau orang kita sayang boleh ceria lepas lama dah sakit,” ujarnya.

Sementara itu, Syahmi juga berharap penonton dapat menerima mesej yang ingin disampaikanmelalui filem arahannya itu.

“Alhamdulillah.. semoga Mael Totey The Movie dapat memberi sedikit manfaat dan didikan kepada yang menonton.. teruskan melanggan Mael Totey The Movie di Astro First saluran 480. Astro Njoi pun boleh,” katanya lagi.

Filem Mael Totey The Movie mencatat rekod tersendiri apabila berjaya menerima kutipan hampir RM700,000 walaupun baru sehari ditayangkan di Astro First.

Filem yang diarahkan oleh bintang YouTube, Syahmi Sazli itu turut mempertaruhkan dirinya sebagai bintang utama.

Ia mengisahkan seorang pemuda lurus bendul, Mael yang berusaha pelajari bahasa Inggeris demi memenuhi syarat yang diberi gadis idamannya, Yaya.

Turut membintangi filem tersebut ialah Yoe Parey, Asif Suhaimi, Emaleen Minhad, Aween Ismail serta turut dibantu pelakon terkenal tanah air seperti Hushairi Hussain, Daler Yusof dan Aznah Hamid. – Malaysiapost