TANDA tanya mengenai identiti penumpang sebuah helikopter yang dilihat mendarat di perkarangan Istana Negara petang semalam kini telahpun terjawab.
Helikopter yang dilihat tiba jam 3.05 petang dan meninggalkan perkarangan istana pada 5,30 petang itu dipercayai dinaiki oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Al-Sultan Abdullah.
Menerusi semakan Malaysiapost, Tengku Hassanal memuat naik di laman sosial Instagram (IG) miliknya satu foto pemandangan ketika berada dalam helikopter.
Selain itu, melalui ‘IG Story’ Tengku Hassanal juga memuat naik foto pemandangan yang sama dan menguatkan lagi jawapan kepada persoalan tentang identiti penumpang helikopter itu.
Difahamkan, helikopter itu sudah mendarat pada jam 12 tengah hari sebelum terbang dan mendarat semula petang semalam.
Spekulasi mengenai siapakah identiti penumpang helikopter itu bukan sahaja berlegar dikalangan petugas media di luar perkarangan Istana Negara, malah turut menjadi perbualan netizen.
Semalam, Raja-Raja Melayu bersidang bersama Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah kira-kira jam 2.30 petang.
Pertemuan khas itu dikatakan bagi membincangkan beberapa cadangan yang dipersembahkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin terutamanya mengenai penularan Covid-19.
Susulan pertemuan itu, Istana Negara menerusi kenyataan memaklumkan Al-Sultan Abdullah menitahkan tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara Malaysia, buat masa ini.
Seri Paduka Baginda mengingatkan ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala ‘politiking’ yang boleh menggangu kestabilan pemerintahan negara. -Malaysiapost

