
PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sepatutnya berbincang dengan Ketua Pembangkang bagi mengadakan ‘gencatan politik’ dalam usaha untuk meluluskan bajet.
Tokoh Veteran Umno, Tan Sri Shahrir Abdul Samad, berkata apa juga langkah yang diambil kerajaan hendaklah secara ‘paling bijaksana’ berpandukan kepada perlembagaan dan undang-undang.
“Tidak salah Ketua Dewan, iaitu Perdana Menteri, berunding dulu dengan Ketua Pembangkang untuk mencapai kebijaksanaan itu,” katanya di Facebook hari ini.
Beliau berkata, sekiranya Ketua Pembangkang enggan untuk berkompromi secara politik agar diadakan “gencatan politik” barulah kerajaan terpaksa melibatkan Yang Di Pertuan Agong dalam urusan berkenaan.
“Keengganan Ketua Pembangkang untuk berkompromi secara politik agar adanya “gencatan politik” untuk meluluskan bajet pentadbiran serta mengatasi kesan buruk wabak Covid-19 terhadap kesihatan dan kehidupan rakyat, (maka) barulah Perdana Menteri dan kerajaan terpaksa melibatkan kuasa Yang Di Pertuan Agong.
“Ketua Pembangkang wajib mengutamakan keredaan politik untuk menyelamatkan rakyat dan negara dari mencari jalan untuk menjatuhkan kerajaan,” katanya.
Bekas Pengerusi Felda itu berkata, perubahan kerajaan patut dilakukan melalui pilihan raya umum selepas wabak Covid-19 kembali reda.
Semalam, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan meminta kerajaan menangani krisis yang dihadapi negara ketika ini dengan mempertahankan perlembagaan.
Beliau berkata, kerajaan juga harus membenarkan demokrasi berfungsi, memperkemaskan respons sistem kesihatan dan keselamatan awam dan mengutamakan kepentingan rakyat biasa dengan tidak menambahkan kesusahan kepada mereka.
Beliau berkata, sesuatu yang membelakangkan sains, menjejaskan ekonomi dan memencilkan peranan perlembagaan akan meletakkan negara dan rakyat Malaysia dalam keadaan yang lebih sulit dan memburukkan lagi keadaan.
Malah, Adun Rantau itu juga menyeru agar kerajaan menangani krisis ini dengan fokus, berpelembagaan dan mempergiatkan segala usaha mendidik masyarakat berasaskan sains dan data. -Malaysiapost
