Covid-19: Penduduk kejar Polis Marin kerana tiada makanan

0
2

SEORANG penduduk di Kampung Halo, Semporna, Sabah terpaksa mengejar Polis Marin bagi mendapatkan bekalan makanan yang terputus ketika negeri itu berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Dalam satu video yang dimuat naik di media sosial, seorang lelaki terpaksa mendayung sampan mengejar pihak berkuasa berkenaan.

Ketika bertemu pihak berkuasa, lelaki berkenaan memohon maaf kerana terpaksa melanggar PKPB, ekoran telah terputus bekalan makanan.

“27 buah rumah semuanya, kami tiada bantuan tuan.

“Kami tiada makanan tuan…sebab itu kami terpaksa turun ke Laut.

“Kalau ada bantuan yang diberikan kerajaan, kami ikut dan patuh dengan peraturan PKPD,” katanya dalam video itu

Berdasarkan rakaman video yang dirakam pihak berkuasa itu, lelaki berkenaan bernama Ladja.

Rakaman video itu dipercayai dirakamkan oleh pihak berkuasa pada 19 Oktober lalu.

Melalui rakaman video itu juga, kampung berkenaan berada di bawah Kluster Bangau-Bangau dalam daerah Semporna.

Sebelum ini kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKPB di seluruh negeri Sabah bermula 13 Oktober sehingga 26 Oktober 2020.

Hari ini, kerajaan bersetuju PKPB di Seluruh Sabah bermula 27 Oktober hingga 9 November depan.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media harian, hari ini.

Pihak berkuasa kemudiannya menghantar bantuan makanan ke perkampungan berkenaan.

Dalam rakaman itu pihak berkuasa memaklumkan segelintir masyarakat itu tercicir daripada bancian untuk mendapat bantuan.

Perumahan atas air itu didiami masyarakat Bajau Pala’u.-Malaysiapost