Azmin ajak selamatkan rakyat dan negara

0
2

Nilam Oshman

KETUA Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali meminta semua pemimpin politik mengenepikan kepentingan masing-masing demi kesejahteraan rakyat dan negara.

Azmin berkata, beliau agak kecewa dengan keadaan negara berdepan pandemik Covid-19 masih ada pemimpin pembangkang membangkitkan isu-isu yang mencetus ketidakstabilan dan menyemai kebencian terhadap kerajaan.

“Disebabkan dia (Datuk Seri Anwar Ibrahim) mendakwa kepada seluruh dunia bahawa dirinya mempunyai majoriti yang menyakinkan di Parlimen untuk membentuk kerajaan dan menggesa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, ini jelas menunjukkan beliau (Anwar) gila kuasa yang didorong oleh egois dan patologis bahawa jawatan Perdana Menteri adalah haknya.

“Dalam usaha untuk menjadi Perdana Menteri, Anwar Ibrahim telah menggunakan pembohongan secara terang-terangan bukan sahaja terhadap rakyat tapi juga Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Beliau berkata, dengan pandemik Covid-19 menjadi lebih buruk dengan kes positif melonjak naik di seluruh dunia termasuk Malaysia, kerajaan telah berusaha tanpa henti untuk menanganinya.

“Dalam keadaan sekarang, adalah wajar kita bersatu untuk mengurangi jumlah kes dan meratakan lekukan serta memastikan gangguan minimun terhadap ekonomi,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, kemarahan parti pembangkang semalam berkenaan negara akan jatuh dalam kuasa diktaktor sekiranya darurat ekonomi diisytihar adalah tindakan melulu dan tidak bertanggungjawab.

“Malah mereka memilih untuk menyemai rasa takut dan benci pada rakyat terhadap kerajaan,” katanya.

Justeru, beliau meminta semua pihak tidak mengira parti perlu berkerjasama dan bersatu bagi memerangi Covid-19 ini untuk kebaikan bersama bukan pentingkan kepentingan sendiri. -Malaysiapost