Malaysia dan Singapura semalam sepakat menerbitkan syarat, protokol kesihatan dan proses permohonan berhubung skim Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA).
Pelaksanaan RGL membolehkan perjalanan rentas sempadan untuk perniagaan dan tujuan rasmi antara kedua-dua negara, lapor Bernama.
Skim PCA pula akan membenarkan penduduk kedua-dua negara yang memegang pas imigresen jangka panjang bagi tujuan perniagaan dan pekerjaan memasuki negara terbabit untuk bekerja.
Kedua-dua skim tersebut menetapkan rakyat Malaysia dan Singapura yang memenuhi syarat perlu mematuhi langkah pencegahan dan kesihatan awam Covid-19 yang dipersetujui bersama kedua-dua negara, termasuk menjalani ujian calitan Reaksi Rantai Polimerase (PCR).
Selanjutnya, selepas tempoh sekurang-kurangnya tiga bulan berturut-turut di negara di mana mereka bekerja, mereka boleh pulang untuk cuti jangka pendek.
Mereka kemudian boleh kembali ke negara di mana mereka bekerja untuk meneruskan tugas bagi tempoh sekurang-kurangnya tiga bulan lagi berturut-turut.
Bagi sebarang pertanyaan dan maklumat tambahan, rakyat Malaysia dan Singapura boleh mengakses pautan disediakan Jabatan Imigresen Malaysian dan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura di laman web masing-masing.

