Sejarah Tingkatan 4 agungkan komunis

0
3

Nilam Oshman

BUKU teks Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) Sejarah Tingkatan 4 didakwa mengangungkan Parti Komunis Malaya (PKM).

Pakar sejarah, Prof Datuk Dr Ramlah Adam berkata menerusi Bab 6 buku teks tersebut, peranan PKM sangat menonjol berbanding paparan mengenai perjuangan Umno ketika menuntut kemerdekaan.

Katanya, walaupun tajuk babnya ‘Ancaman Komunis dan Pengistiharan Darurat’ namun huraian mengenai PKM dan gerakannya mengangkat senjata menentang British, Raja-Raja Melayu dan rakyat Persekutuan Tanah Melayu diceritakan terperinci, mengatasi kepentingan pihak berkuasa menentang PKM.

Dalam bab tersebut, beliau menjelaskan penulis meletakkan senarai serangan PKM pada muka surat 151 sebagai satu matlamat penting.

“Adakah ini menunjukkan kehebatan PKM mengalahkan pasukan keselamatan negara? Tidakkah ini menunjukkan kelemahan pasukan keselamatan Persekutuan Tanah Melayu menentang PKM?

“Mengapakah tidak dimasukkan kejayaan Angkatan Tentera, askar Melayu, pasukan polis tempatan, komando dan tentera Komanwel memburu dan menghancurkan serangan-serangan PKM daripada 1948 hingga 1960, sehingga ia lari keluar ke Thailand?” katanya kepada Malaysiapost.

Dr Ramlah berkata, memang ada penceritaan tentang pasukan keselamatan tetapi kejayaan perjuangan dan serangan mereka ke atas pihak komunis tidak disebut.

“Jadi ia akan membuatkan pelajar dan guru berfikir tentang kelemahan pasukan Persekutuan Tanah Melayu kerana tiada maklumat tentang hal berkenaan.

“Itu silap, kita mengagungkan komunis (Komunis Bintang Tiga) ini yang mengambil kesempatan untuk berkuasa di Tanah Melayu selepas Jepun menyerah kalah dengan menimbulkan kacau-bilau melalui rusuhan serta pergaduhan antara kaum selama 14 hari.

“Tidakkah ini boleh dilihat mereka (penulis) mengutamakan kehebatan komunis daripada pasukan keselamatan,” katanya.

Berikutan itu, beliau berharap Kementerian Pendidikan memperhalusi semula gambaran dan naratif sejarah sebenar negara kerana buku teks itu digunakan dalam tempoh lima tahun ke atas.

Ia juga, katanya, akan memberi kesan dari segi pemikiran dan pengetahuan kepada pelajar serta guru.

“Janganlah diketepikan dan dihilangkan sejarah yang penting tetapi diutamakan pengkhianat negara sebagai wira bangsa,” katanya. – Malaysiapost

Siri 1: Buku Teks Sejarah Tingkatan 4 bercelaru, beban pelajar dan guru

Siri 2: Sejarah Tingkatan 4 agungkan golongan radikal, haluan kiri

Siri 3: Sejarah penubuhan, peranan Umno dalam buku teks diolah, ditiadakan?

Siri 4: Sejarah Tingkatan 4 agungkan komunis