Pendirian Umno yang yang tidak mahu menyertai Perikatan Nasional (PN) sebagai salah satu parti komponen sekiranya ia didaftarkan sebagai parti politik, telah dinyatakan dalam Jawatan kuasa Induk Perundingan Muafakat Nasional (MN).
Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata perkara itu dinyatakan dua mesyuarat jawatan kuasa berkenaan yang turut dihadiri 11 kepemimpinan yang mewakili PAS.
“Dalam dua Mesyuarat Jawatan kuasa Induk MN, Umno tegas membawa suara Majlis Tertinggi dan akar umbi yang tidak mahu Umno menyertai PN sebagai salah satu parti komponen, sekiranya PN ingin didaftarkan sebagai sebuah parti politik.
“Hampir keseluruhan kepimpinan di semua peringkat mahu Umno kekal Barisan Nasional (BN) dan terus memperkukuhkan kerjasama dengan PAS dalam MN.
“Justeru, apa yang disuarakan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataan beliau baru-baru ini, merupakan suara kolektif kepimpinan dan akar umbi Umno,” katanya menerusi kenyataan malam tadi.
Bagaimanapun Asyraf Wajdi berkata, sebagaimana yang ditegaskan Ahmad Zahid, Umno akan terus mempertahankan Kerajaan PN sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Kesepakatan juga dicapai dengan kepimpinan PAS untuk terus memperkukuhkan MN tanpa sekelumit perasaan untuk menggagalkan kerajaan PN yang dibentuk bersama demi rakyat dan negara,” katanya.
Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan bahawa PAS tidak maklum dengan keputusan Umno enggan menyertai PN.
Takiyuddin dilaporkan berkata perkara berkenaan dijangka dibincangkan dalam masa terdekat dan PAS sedang menunggu pelawaan daripada Umno mengenainya.
PAS juga, katanya sekali lagi menegaskan sokongan terhadap kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sehingga PRU-15.

