Darurat: Keputusan pendek akal, penting diri – Anwar

0
2
anwar ibrahim

Muhammad Mustakim Ramli

“KEPUTUSAN pendek akal dan penting diri,” kata Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Pembangkang itu berkata, beliau mengikuti rapat laporan yang mengandaikan bahawa kerajaan sedang mempertimbang untuk melaksanakan langkah darurat bagi menyekat sidang Parlimen.

“Hari ini, kita sedang menyaksikan babak sejarah yang tidak pernah berlaku sebelumnya yakni mempunyai sebuah kerajaan yang bergelut dengan persoalan keabsahan.

“Dan sedang menggunakan Covid-19 yang memungkin penyalahgunaan kuasa,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, pengisytiharan darurat hanya dilakukan apabila terdapat unsur ancaman pada keselamatan negara.

Tetapi katanya, apabila kerajaan itu sendiri yang menjadi punca pada ancaman keselamatan, maka langkah darurat ternyata suatu langkah ke belakang yang akan memungkinkan kediktatoran.

“Saya menggesa Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menimbang semula keputusan ini kerana ia ternyata suatu keputusan yang pendek akal dan penting diri.

“Dengan langkah ini, maka kerajaan Perikatan Nasional yang tidak ada keabsahan ini telah menonjolkan kelemahan mereka dalam menangani pandemik Covid-19 dan kemelut ekonomi yang kita hadapi sekarang.

“Negara-negara di rantau ini sedang memikirkan pelbagai cara bagi menangani wabak dan benarkan aktiviti ekonomi untuk bergerak, namun Malaysia sedang bergerak ke belakang,” katanya.

Beliau berkata, ramai masih belum mengetahui apa strategi kerajaan dalam mengemudi krisis ini, tetapi apa yang terpamer adalah pemerintah merasakan strategi ampuh untuk melawan dampak pandemik adalah dengan melemahkan demokrasi.

“Apa yang kita perlukan dalam mendepani pandemik Covid-19 adalah ketelusan, kebertanggungjawaban dan dasar yang jelas oleh pelbagai kementerian.

“Pemerintah telah gagal menonjolkan kepimpinan yang berkualiti saat wabak, malah telah mengambil langkah yang mencurangi demokrasi untuk terus berkuasa,” katanya. – Malaysiapost