PRN Sabah: Giliran Bersatu bidas Umno

0
3

“Jangan Celupar,” demikian ingatan Exco Armada Nasional Bersatu, Muzzammil Ismail kepada Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan.

Ia susulan kenyataan Shahril hari ini yang mengingatkan Bersatu supaya ‘jangan bermimpi’ untuk bertanding di 45 kerusi Dun Sabah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Shahril berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang menyatakan parti itu telah mengenal pasti 45 kerusi yang akan ditandingi mereka.

Dalam reaksi balas berhubung kenyataan Shahril itu, Muzzammil berkata apa yang dinyatakan Hajiji adalah hasrat Bersatu, dan berdasarkan rekod baik Adun serta kawasan Bersatu di Sabah.

“Kenapa Shahril Hamdan melenting lebih hanya kerana risau kerusi Umno berisiko dipertandingkan oleh Bersatu?

“Sebaiknya kita selesaikan di meja rundingan dan bukan melalui serangan di media. Lupakah Umno rebah di Sabah PRU-14? UMNO boleh membuat kenyataan untuk bertanding di 73 kerusi.

Tetapi, adakah rakyat telah menerima Umno solo secara total pada hari ini? Sebaiknya kita jangan ulangi kesilapan PH sebelum ini yang berpecah,” katanya menerusi kenyataan.

Muzammil berkata, kepemimpinan Umno dan Bersatu perlu menjaga bahasa dan jangan celupar kerana Parti Warisan Sabah (Warisan) masih mempunyai asas yang kuat di Sabah.

“Muhasabah diri dan jangan terlalu ego. Kita kena bijak mengatur politik di sini. Jangan pula, menembak antara satu sama lain,” katanya.

Terdahulu, Hajiji dilaporkan berkata Bersatu Sabah sudah bersiap sedia dan telah mengenal pasti 45 kawasan DUN yang akan ditandingi oleh calonnya.

Beliau dilaporkan berkata Bersatu Sabah sedia berbincang dengan parti Perikatan Nasional (PN), Umno dan BN bagi menghadapi PRN Sabah demi mengumpul kekuatan untuk memastikan kemenangan dalam pilihan raya negeri.

Hajiji adalah penyandang Adun Sulaman yang dimenanginya atas tiket Umno pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Susulan kenyataan Hajiji itu, Shahril berkata Umno Sabah mempunyai autonomi menentukan hal calon dan kerusi yang ditandingi.

“Tetapi kalau sebelum berunding pun PPBM (Bersatu) sudah ghairah mengiklan hasrat bertanding 45/73 kerusi, itu bukan langkah berlandaskan kebijaksanaan atau keikhlasan,” katanya.