Mesyuarat khas selesai, menteri cuma senyum, lambai tangan

0
2

MESYUARAT Khas Kabinet hari ini berakhir pada jam 12.30 tengah hari tadi, namun beberapa menteri yang ditemui media enggan memberikan sebarang kenyataan.

Difahamkan, mesyuarat dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Perdana Putra, Putrajaya berlangsung kira-kira tiga jam dan berakhir jam 12.30 tengah hari.

Beberapa media melaporkan, kenderaan ahli Jemaah Menteri mula meninggalkan bangunan Perdana Putra, pada jam 12.45 tengah hari.

Beberapa menteri yang ditahan wakil media di luar Perdana Putra enggan memberi kenyataan apabila ditanya mengenai mesyuarat khas tersebut.

Antaranya ialah Menteri Perpaduan, Datuk Halimah Mohamed Sadique; Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun; Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Mereka hanya senyum dan melambai tangan kepada wakil media yang menunggu sejak jam 8.30 pagi.

Pagi tadi, kenderaan Perdana Menteri memasuki pekarangan Perdana Putra pada jam 8.57 pagi, selain kelihatan beberapa kenderaan dinaiki menteri Kabinet.

Kenderaan membawa Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang turut dilihat memasuki Perdana Putra pada kira-kira jam 9 pagi.

Semalam, Malaysiapost melaporkan mesyuarat itu memberi fokus terhadap usaha kerajaan menangani penularan pandemik Covid-19 yang kian meningkat.

Difahamkan, mesyuarat itu tiada kaitan dengan spekulasi yang mendakwa Perdana Menteri akan melakukan rombakan Kabinet dalam masa terdekat. – Malaysiapost