LUAS atasi dua insiden pencemaran

0
2

TINDAKAN pantas Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berjaya menangani pencemaran di Sungai Kundang dan Tasik Putrajaya, semalam.

Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian, berkata dalam insiden pertama, pencemaran bau sehingga 10 ton dikesan di Sungai Kundang pada jam 10.45 pagi.

Katanya, ia dikesan ketika pemantauan menerusi Ops Statik secara 24 jam di Sungai Gong, Rawang.

“Siasatan awal LUAS mendapati pencemaran bau yang dikesan itu adalah daripada bahan biodiesel melebihi 10 ton pada aliran yang dilaporkan di lokasi disyaki sekitar kawasan Industri Kundang Jaya.

“Siasatan lanjut bersama Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) ke premis yang disyaki, mendapati bau sama sehingga 10 ton dikesan di pelepasan akhir premis berkenaan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, LUAS telah mengeluarkan Surat Arahan di bawah Seksyen 121(1), Enakmen LUAS 1999 kepada premis terbabit dan langkah nyah bau dilakukan dengan meletak 12 beg ‘activated carbon’ untuk mengawal pencemaran di Sungai Kundang.

Katanya, dalam insiden kedua, LUAS mengesan tumpahan minyak diesel ke dalam Tasik Putrajaya jam 9.35 pagi semalam, disebabkan kebocoran ‘skid tank’ paip pada saluran bawah tanah di Institut Kanser Negara (IKN), Putrajaya.

“Siasatan mendapati diesel mengalir ke longkang IKN dan disalirkan ke Tasik Putrajaya.

“Perbadanan Putrajaya (PPJ) telah mengarah IKN melaksanakan kerja pembersihan segera bagi mengelak kejadian menjadi lebih teruk,” katanya.

Mengulas lanjut, Loy Sian memaklumkan beberapa langkah mitigasi telah dijalankan oleh IKN.

“Ia merangkumi pembaikan paip sambungan, meletakkan ‘oil pad’ dan ‘oil boom’ serta menyedut minyak yang telah bercampur.

“Insiden itu turut berpotensi menyebabkan pencemaran Sungai Langat dan henti tugas LPA Bukit Tampoi yang terletak kira-kira 10 kilometer dari tasik berkenaan.

“Kedua-dua insiden semalam berjaya ditangani segera oleh LUAS, Air Selangor, PPJ bersama agensi-agensi terlibat, seterusnya tiada henti tugas LPA serta gangguan bekalan air kepada pengguna,” katanya. – Malaysiapost