FILEM Mael Totey The Movie (MTTM) arahan YouTuber terkenal, Syahmi Sazli mencatat rekod di Astro First apabila hampir mencecah kutipan RM700,000 pada hari pertama tayangannya di saluran itu semalam.
Perkhabaran itu dikongsi menerusi Facebook Syahmi Sazli Production sebentar tadi.
“ALLAHUAKBAR pecah rekod di Astro First! Ya, ini balasan untuk kami team Syahmi Sazli Production yg sebelum ni orang cakap macam-macam.
“Terima kasih Allah, terima kasih penyokong kami yang sangat berkualiti!!!! Teruskan melanggan Mael Totey The Movie di Astro First saluran 480. Teruskan memecah rekod,” katanya.
Syahmi sebelum ini berjaya meraih hampir 95 juta tontonan melalui video-video pendek di YouTube yang menggunakan dialek Kelantan.
Menerusi filem MTTM, Syahmi mengekalkan dua pelakon yang sering menghiasi video pendek komedinya sebelum ini iaitu Yoe Parey dan Asif Suhaimi.
Filem komedi itu turut dibintangi Emaleen Minhad, Aween Ismail serta pelakon seperti Hushairi Hussain, Daler Yusof, Aznah Hamid dan Kamarool Yusoff.
MTTM mengisahkan pemuda lurus bendul, Mael yang berusaha belajar Bahasa Inggeris demi memenuhi syarat gadis idamannya, Yaya, tetapi Mael bertemu cinta sejatinya bersama cikgu Bahasa Inggeris yang mengajarnya. – Malaysiapost

