Azmin tak layan tuntutan RM10 juta

0
3

“Untuk apa? Kenapa saya perlu bayar mereka (PKR) RM10 juta?,” kata bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ahli Parlimen Gombak itu tidak akan melayani tuntutan berjumlah RM10 juta daripada PKR.

“Jika saya ada duit sekalipun, saya akan serah pada rakyat. Saya tidak akan serahkan kepada parti yang sudah rosak seperti PKR,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai kenyataan Bendahari Agung PKR, Lee Chean Chung yang dilaporkan berkata, parti itu akan mengeluarkan surat tuntutan kepada kesemua 19 ahli Parlimen dan Adun PKR yang keluar parti.

Chean Chung mendakwa jumlah RM10 juta itu dipersetujui untuk dibayar oleh kumpulan terbabit jika mereka berpaling tadah dan menggunakan kerusi yang diwakili bagi kepentingan peribadi serta bertentangan dengan kepentingan parti.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin juga menyifatkan kenyataan Chean Chung itu kurang cerdik.

“Saya malas bercakap pasal PKR ini sebab parti itu tidak lagi relevan,” katanya.