MAJIKAN perlu membayar gaji pekerjanya seperti biasa walaupun bekerja dari rumah (BDR) dilaksanakan.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, berkata majikan tidak boleh memaksa atau mengarahkan pekerja menggunakan cuti tahunan atau mengambil cuti tanpa gaji.
Katanya, perkara itu selaras perintah dan kenyataan dikeluarkan Kementerian Sumber Manusia (KSM) ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu.
“Namun, majikan boleh berbincang dengan pekerja dalam apa juga tindakan dan keputusan diambil demi kepentingan bersama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Arahan BDR dikeluarkan kerajaan susulan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) iaitu Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur.
Arahan itu diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Selasa lalu dan kenyataan media Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bahawa pekerja di kawasan PKPB diarah untuk BDR dengan syarat tertentu.
Sebarang maklumat lanjut, boleh menghubungi Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) melalui talian 03-88862352,03-88862409 atau 03-88889111. – Malaysiapost

