Safawi dijangka tampil lawan Santa Clara 1 November

0
2

BINTANG sensasi, Safawi Rasid dijangka membuat penampilan sulung di Liga Primeira, Portugal bersama Portimonense SC menentang Santa Clara, 1 November ini.

Safawi, 23, berkata impian untuknya merasai saingan sebenar Liga Portugal semakin hampir apabila jurulatih mula terpikat dengan aksinya.

“Untuk perlawanan akan datang saya akan bermain bersama skuad B-23 menentang Maritimo pada Ahad ini (25 Oktober) di tempat lawan.

“Alhamdulillah semuanya berjalan lancar di sini dan cabaran merebut tempat dalam skuad utama sangat sengit. Bagi saya elok juga ketua jurulatih letak saya bermain bersama skuad B-23 untuk menyesuaikan diri.

“Insya-Allah tidak lama lagi rezeki saya akan sampai. Saya tahu rakyat Malaysia mahu melihat penampilan pertama saya bersama skuad utama di Portugal,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Jelas pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu lagi, dia sentiasa berusaha ‘mencuri’ tempat dalam pasukan sejak tiba di Portugal dan semangatnya tidak pernah luntur.

“Itu juga matlamat utama saya ketika membuat keputusan berpindah ke sini dan saya sentiasa berusaha keras ke arah itu dan jurulatih sudah terpikat dengan aksi saya,” katanya.

Safawi berhijrah dari Johor Darul Ta’zim (JDT) selama semusim secara pinjaman dengan kelab Portugal itu diberi pilihan untuk membelinya selepas ini. – Malaysiapost