EMPAT kakitangan Jabatan Perikanan Negeri Johor yang dilaporkan hilang selepas bot PL87 dinaiki mereka terputus hubungan sejak semalam, ditemui selamat di perairan Indonesia kira-kira jam 1.45 tengah hari tadi.
Mereka ditemukan di perairan Indonesia oleh pasukan Tentera Nasional Indonesia (TNI) pada jarak 13 batu nautika dari lokasi terakhir mereka dikesan, berdekatan Pulau Kepala Jerih, Indonesia.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, hasil maklumat awal diperoleh, bateri bot berkenaan dilaporkan mengalami kerosakan.

“Bot kemudian tidak dapat berfungsi dengan baik sebelum dihanyutkan.
“Ketika ditemukan, semua kru iaitu Fatimah Razak, 36; Zaharin Baharudin, 33; Abdul Halim Sanip, 52, dan Marzuki Jusuh, 53, dilaporkan berada dalam keadaan selamat dan sihat,” katanya pada sidang media hari ini.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Johor, Zainudin Abd Wahab.
Nurul Hizam turut mengesahkan bot berkenaan masih di perairan Indonesia dan pihaknya sedang menjalankan urusan membawa pulang semua mangsa dengan kerjasama TNI.
“Bot PL87 kini dalam proses pembaikan oleh TNI, jika ia boleh dibaiki, bot akan bergerak sendiri dengan diiringi TNI sebelum diserahkan kepada kita.
“Kita berharap semua urusan membawa pulang bot PL87 dan mangsa dapat diselesaikan hari ini dan proses serahan dijangka dibuat di atas laut perairan Johor Barat,” katanya.
Semalam, bot yang dalam perjalanan pulang dari Tanjung Pengelih, Kota Tinggi ke Pengkalan Jabatan Perikanan di Tampoi, Johor Bahru, sejak jam 12.45 tengah hari semalam, gagal dikesan dan dihubungi kira-kira jam 3 petang.
Bot berkenaan sepatutnya dijadualkan tiba di Tampoi pada jam 6.30 petang. – Malaysiapost

