BN guna kedudukan dalam kerajaan untuk takutkan pembangkang – Azmin

0
3

KETUA Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa surat tuntutan yang dikemukakan Barisan Nasional (BN) bertujuan untuk menakut-nakutkan pembangkang termasuk dirinya dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Surat Tuntutan tersebut menunjukkan bahawa BN kini menggunakan kedudukan mereka untuk menakut-nakutkan pembangkang dengan tindakan pendakwaan jenayah dan tindakan undang-undang.

“(Tambahan pula) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan pemimpin-pemimpin BN kini memegang tampuk kerajaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, Mohamed Azmin turut mempertahankan dakwaan yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin Bersatu dan PN berkaitan pendakwaan terhadap bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan di mahkamah.

“Sebenarnya, kenyataan pemimpin Bersatu dan PN berkenaan perkara ini adalah fakta yang telah pun dinyatakan dalam laporan polis yang dibuat oleh wakil Armada pada 15 Februari 2023 berkenaan konspirasi untuk melumpuhkan Bersatu dan PN melalui satu konspirasi fitnah dan tohmahan palsu,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin berkata, pertuduhan tersebut dengan jelas menunjukkan terdapat konspirasi fitnah palsu terhadap Bersatu dan PN yang disusun secara tidak cermat.

“Ini kerana Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri dari 1 Mac 2020 dan meletak jawatan pada 16 Ogos 2021.

“Pertuduhan pertama terhadap Wan Saiful menunjukkan kononnya kesalahan dilakukan pada April 2022. Pada masa itu, Perdana Menteri adalah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Naib Presiden Umno bukan Muhyiddin,” katanya.

Malah, beliau mendakwa waktu kesalahan yang dinyatakan dalam pertuduhan berkenaan semuanya bukan berlaku ketika zaman pentadbiran PN.

“Jika Jana Wibawa yang menjadi fokus siasatan SPRM, saya tahu bahawa program ini diteruskan ketika Kerajaan Persekutuan diketuai oleh BN selepas Muhyiddin meletak Jawatan sebagai Perdana Menteri.

“Malah banyak kelulusan projek diberikan ketika BN mengetual kerajaan. Kenapa hanya pemimpin Bersatu yang menjadi sasaran siasatan dan pendakwaan sedangkan pemimpin BN dikecualikan?,” soalnya.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin berkata, beliau percaya perbicaraan kes membabitkan pemimpin pembangkang tidak mungkin berlaku sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN).

Katanya, siri pendakwaan itu dibuat hanya untuk tujuan pembunuhan karakter pemimpin Bersatu dan PN menjelang PRN tanpa mengambil kira sama ada pertuduhan tersebut mempunyai asas yang kukuh atau sebaliknya.

“Dalam keadaan ini, apakah tidak berasas bagi saya untuk mengatakan bahawa tindakan yang dibuat ke atas Bersatu dan PN adalah satu bentuk penindasan politik?

“Apabila Surat Tuntutan diterima nanti, peguam saya akan membalas dengan sewajarnya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here