Keputusan semakan Najib diumum akhir bulan depan

0
3

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terpaksa menunggu hujung bulan depan bagi mendapatkan kebenaran untuk menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli membuat keputusan itu selepas selesai mendengar hujahan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas perdana menteri selaku pemohon.

Abdul Rahman berkata, panel tidak berada dalam kedudukan untuk membuat keputusan hari ini.

Katanya, semua pihak akan dimaklumkan mengenai tarikh keputusan selewat-lewatnya sebelum 31 Mac ini.

Turut bersidang dalam panel itu ialah tiga Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vernon Ong Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang, Datuk Nordin Hassan, dan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais yang mula mendengar permohonan kebenaran bagi semakan sejak 19 Januari lalu.

Dalam permohonan kebenaran semakan berkenaan, Najib mahukan mahkamah tertinggi negara supaya menyemak keputusan panel lima hakim pada 23 Ogos tahun lalu, dengan memohon perintah supaya keputusan rayuan utama beliau diketepikan dan beliau dilepas serta dibebaskan daripada tuduhan berkenaan.

Secara alternatif, bekas Ahli Parlimen Pekan itu memohon rayuan berkenaan didengar korum Mahkamah Persekutuan lain yang mengandungi tidak kurang daripada tujuh hakim Mahkamah Persekutuan atau yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Dalam Afidavit Najib yang difailkan bagi menyokong permohonan itu menyatakan bahawa beliau benar-benar percaya dan telah dinasihatkan oleh peguam caranya bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan boleh disemak mengikut Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.

Beliau yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang, turut memohon hukuman ke atasnya itu ditangguhkan sementara menunggu pendengaran permohonan semakan terbabit.

Pada 22 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ketika itu, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana SRC dan dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta dikenakan denda berjumlah RM210 juta.

Sabitan dan hukuman terhadap Najib kemudian dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Sementara itu, Muhammad Shafee dalam hujahan balasnya berkata suami Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, Datuk Zamani Ibrahim menyatakan kebencian secara terbuka terhadap Najib melalui hantaran Facebook empat tahun lalu.

Melalui hantaran di laman sosial itu, Muhammad Shafee berkata Zamani membuat kenyataan yang tidak menyenangkan yang boleh dibaca oleh orang awam.

“Beliau (Zamani) membuat kesimpulan bahawa Najib bersalah walaupun kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd belum didengar di mahkamah.

“Dengan penuh hormat beliau (Zamani) sahabat saya dan ini perisytiharan kebencian terbuka terhadap Najib…Ketua Hakim Negara sepatutnya mendedahkan hantaran itu ketika mempengerusikan panel lima hakim ketika rayuan akhir pada Ogos tahun lalu.

“Hantaran berkenaan tidak (dibuat) secara berselindung. Tetapi dalam kes ini, tiada pendedahan dibuat oleh Ketua Hakim Negara. Jadi persepsi awam adalah sama ada perbicaraan adil atau tidak?” katanya.

Muhammad Shafee berkata, hubungan paling rapat sesama manusia ialah hubungan antara pasangan, di mana pandangan suami boleh mempengaruhi isteri apabila mereka bertukar pendapat.

Katanya, walaupun bukan seorang ahli politik, Zamani berpolitik (melalui hantaran di Facebook).

Dalam hujahan sebelum ini, Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk V Sithambaram menegaskan bahawa hantaran itu tidak menunjukkan Zamani mempunyai permusuhan peribadi terhadap Najib kerana ia adalah komen umum ‘rakyat’.

Katanya, permohonan supaya Tengku Maimun menarik diri ketika rayuan akhir tahun lalu berikutan dakwaan konflik kepentingan adalah percubaan terdesak di saat akhir untuk mengganggu prosiding rayuan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here