TVET, reformasi Parlimen, hospital sesak antara isu di Dewan Rakyat hari ini

0
3

KETERLIBATAN belia dalam program Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), reformasi sistem dan institusi negara serta kesesakan hospital kerajaan antara isu yang dibangkitkan dalam Sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat, soalan-soalan berhubung isu berkenaan akan ditanya kepada Pihak Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Pada sesi berkenaan, Young Syefura Othman (PH-Bentong) bertanyakan Perdana Menteri mengenai usaha kerajaan dalam meningkatkan keberkesanan TVET.

Beliau meminta Perdana Menteri menyatakan data terkini berbanding data Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) yang mengatakan hanya lima peratus belia Malaysia terlibat dalam TVET.

Sementara itu, Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) mahu tahu sama ada kerajaan bercadang melakukan proses perundingan yang inklusif bagi melaksanakan agenda reformasi sistem dan institusi negara.

Beliau minta Perdana Menteri menyatakan adakah Kerajaan berhasrat mencadangkan butiran khusus berkaitan reformasi komprehensif terhadap sistem dan institusi negara, termasuk reformasi Parlimen.

Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) pula bertanyakan mengenai langkah kerajaan dalam meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan negara ekoran kesesakan yang berlaku di hospital kerajaan ketika ini.

Selesai sesi pertanyaan bagi jawab lisan, Dewan Rakyat akan menyambung semula sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 (Belanjawan 2023) yang diusulkan Anwar yang juga Menteri Kewangan pada Jumaat lalu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here