Majlis Ulama Umno iltizam main peranan demi kepentingan ummah

0
3

MAJLIS Ulama Umno (MUU) komited memainkan peranan demi kepentingan ummah selain berazam untuk sentiasa bersama denyut nadi rakyat dalam menangani cabaran semasa selaras dengan kehendak Islam.

MUU dalam kenyataan, berkata pihaknya telah mengadakan Mesyuarat Tertinggi yang dipengerusikan Datuk Dusuki Ahmad buat kali pertama hari ini dengan menetapkan empat peranan utama.

“Ia termasuk menasihati parti bagi merealisasikan asas dan tujuan Umno sebagaimana Fasal 3 dan ceraian 3.1 Perlembagaan Umno iaitu menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam sebagai agama Persekutuan serta menghormati prinsip kebebasan beragama seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kedua, mendidik dan mentarbiah ahli parti supaya selaras dengan asas dan tujuan parti seterusnya beristiqamah dengan Islam agar menjadi muslim bertaqwa serta warganegara yang baik,” menurut kenyataan itu.

MUU berkata, pihaknya juga akan memainkan peranan menasihati kerajaan agar sentiasa bertindak selaras dengan Perkara 3 (1) Perlembagaan Malaysia iaitu Islam sebagai agama Persekutuan.

“Keempat, menangani isu semasa melibatkan kepentingan umat Islam di dalam dan luar negara serta membimbing umat untuk sentiasa istiqamah dengan Islam dan menjadi warganegara yang baik,” katanya.

Sementara itu, Mesyuarat Anggota Tertinggi juga telah meluluskan 30 Mercu Tanda Majlis Ulama Umno (Fasa Permulaan 2023-2024) untuk dilaksanakan.

“Mercu Tanda adalah perancangan strategik jangka masa pendek dan panjang yang memberikan impak kepada parti serta rakyat.

“Tiga daripada 30 Mercu Tanda tersebut ialah pertamanya, Program Halaqah yang akan menjadi program tetap pentarbiahan ahli parti untuk dilaksanakan di Bahagian dan Cawangan.

“Kedua, Sidang Muzakarah Meja Bulat Majlis Ulama Umno yang akan dikendalikan oleh panel-panel Majlis Ulama. Ia adalah medan untuk mengenal pasti isu-isu kepentingan semasa dan masa hadapan umat Islam seterusnya menghasilkan resolusi yang berimpak tinggi demi pembangunan serta kemajuan ummah.

“Ketiga, menyemarakkan peranan Pusat Islam WTC dengan menjadikan Surau Rahman WTC sebagai antara pusat aktiviti keilmuan Islam semasa menerusi kuliah ilmu secara berkala,” katanya.

Pada 13 Januari lalu, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan penubuhan MUU adalah untuk menjadi cerminan kesediaan parti menjalin kerjasama bukan sahaja dalam kalangan rakan gabungan parti tetapi juga badan bukan kerajaan lain. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here