Motosikal penduduk hangus, Nurul Izzah ‘ganti’ baharu

0
3

BEKAS Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah menyampaikan sumbangan kepada pemilik motosikal yang hangus dijilat api di Flat Tuna Seberang Jaya, Pulau Pinang.

Menerusi hantaran di Facebooknya, Nurul Izzah memaklumkan sumbangan berkenaan dibuat dengan kerjasama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machang Bubok, Lee Khai Loon.

Beliau berkata, pihaknya berjaya mengumpulkan sumbangan sebanyak RM30,000 untuk membantu kumpulan B40 berkenaan.

“Beberapa hari lepas, saya menerima mesej daripada seorang penduduk Seberang Jaya meminta bantuan. Katanya, 15 penduduk di Flat Tuna Seberang Jaya jatuh terduduk apabila motosikal yang mereka miliki hangus dalam suatu kebakaran.

“Ya, saya bukan lagi Ahli Parlimen Permatang Pauh, namun ramai penduduk yang datang memohon bantuan daripada saya.

“Mereka juga ada bertemu wakil rakyat kawasan, tetapi mereka datang kepada saya dengan permohonan ini kerana masih menantikan penyelesaian. Kami pergi ke kedai motor dan membeli Modenas Kriss MR3,” katanya menerusi Facebook.

Nurul Izzah berkata, beliau terharu kerana kerana dapat membeli motosikal yang berharaga RM4,000 sebuah pada harga RM3,500 selepas berunding dengan pemilik kedai.

“Saya tersentuh kerana pemilik beri diskaun apabila diberitahu tentang usahasama demi membantu keluarga berpendapatan rendah di Seberang Jaya,” katanya.

Dalam hantaran sama, Nurul Izzah turut memberitahu pasukannya juga memudahkan proses penyediaan lesen, cukai jalan dan insurans.

“Berkat dukungan pasukan dan sukarelawan, proses lesen, road tax, insuran, dan isi minyak full tank selesai!

“Semoga token kecil ini dapat membantu mereka mencari pendapatan dan meneruskan kehidupan. ‘Kuda’ dah ada, bolehlah pergi mencari rezeki semula.

“Saya sedar, saya bukan lagi Ahli Parlimen Permatang Pauh, tapi Permatang Pauh sentiasa di hati saya, selama-lamanya,” katanya.

Dalam kejadian 2 Februari lalu, sebanyak 15 motosikal musnah dalam kebakaran di kawasan parkir Flat Tuna D4, Jalan Seberang Jaya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here