Zulkapli kini KPPA baharu

0
3

DATUK Dr Zulkapli Mohamad dilantik sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) yang baharu, berkuatkuasa hari ini sekali gus mengisi jawatan itu yang ditinggalkan kosong sejak Disember lalu.

Pelantikan Zulkapli, 58, mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan dimaklumkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam satu kenyataan, hari ini.

Zulkapli yang sudah berkhidmat selama 31 tahun dalam perkhidmatan awam dengan jawatan pertama disandang sebagai Penolong Setiausaha di Bahagian Latihan di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 1 Disember 1992.

Mohd Zuki berkata, pelantikan Zulkapli berdasarkan pengalaman luas beliau dalam pelbagai bidang termasuk dasar, pengurusan dan perkhidmatan, serta pembangunan modal insan.

“Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) di JPA, selain Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di SWCorp dan Setiausaha Persekutuan Sabah.

“Saya yakin dengan pengetahuan dan kredibiliti dimiliki, beliau mampu menggalas amanah dan tanggungjawab dalam menyokong usaha serta memastikan pembaharuan sektor awam selari dengan aspirasi Malaysia Madani,” katanya.

Zulkapli berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial (Kepujian) dari Universiti Sains Malaysia (USM); Ijazah Sarjana Pembangunan Antarabangsa, University of Japan; dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Ekonomi, Universiti Meiji di Jepun.

Jawatan KPPA kosong selepas perkhidmatan Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah ditamatkan berkuat kuasa 12 Disember tahun lalu.

Mohd Shafiq turut terpalit isu tular memarahi pegawai Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 3 Ogos lalu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here