LANGKAH seiring program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) bersama rakyat dapat memberi kesan dalam mencapai matlamat membasmi miskin tegar.
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, berkata penglibatan rakyat dalam IPR akan menjayakan matlamat dan objektif yang disasarkan.
Jelasnya, program IPR ini khas untuk golongan miskin tegar, miskin dan juga B40 yang dirangkumkan menerusi tiga program iaitu Inisiatif Usahawan Tani (INTAN), Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) dan Inisiatif Operator Perkhidmatan (IKHLAS).
“Dalam 5,000 orang dalam kalangan peniaga, Non Government Organisation (NGO), sukarelawan dan komuniti setempat akan menjadi pembimbing kepada kepada koperasi miskin tegar yang akan ditubuhkan.
“Kalau kita berjaya memastikan 100,000 penerima dalam tempoh setahun ini, InsyaAllah boleh berjaya mewujudkan sekitar 150,000 koperasi miskin tegar di seluruh negara,” katanya pada sidang media selepas melancarkan program IPR di Gombak, hari ini.
Rafizi menegaskan, IPR membolehkan kerajaan mensasarkan baki keluarga miskin tegar dan B40 pada tahun 2024 mempunyai 24 bulan untuk keluar dari garis miskin tegar menjelang akhir Disember 2025.
Katanya,IPR bertepatan dengan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2023 di mana beliau mahu menoktahkan miskin tegar di negara ini dengan pengakhiran bagi Perancangan Malaysiaku ke-12.
Dalam pada itu, Rafizi juga turut berkata, bimbingan dan latihan akan diberikan kepada peserta IPR bagi membantu mereka dari segi teknologi kemahiran dalam mengurus dan mengendalikan perniagaan kecil ini.
“Perkara ini tidak akan berkesan jika kita (kerajaan) hanya berikan duit sahaja kepada mereka (golongan miskin tegar dan B40). Mereka tidak akan keluar dari garis kemiskinan dan negara akan bertambah hutang.
“Oleh itu, ini adalah perancangan bagi mengimbangi kedua perkara tersebut iaitu dengan mengurangkan kebergantungan kita kepada pekerja luar, bahan makanan import dan sebagainya serta membantu miskin tegar dan B40 dalam masa yang sama,” katanya.
Justeru, Rafizi berharap IPR akan mendapat sambutan baik daripada golongan miskin tegar bagi mengelakkan perkara yang berulang seperti kerajaan sebelumnya dengan banyak peruntukan dilaksanakan namun masalah masih tidak diselesaikan. – Malaysiapost

