SETIAUSAHA Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan mengumumkan tidak bertanding jawatan Naib Presiden parti pada pemilihan kali ini.
Timbalan Menteri Kewangan I itu berkata, sebaliknya beliau memilih bertanding jawatan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan Ketua Umno Bahagian Pontian.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, keputusan tersebut dibuat kerana tidak mahu memecahkan undi memandangkan Johor sudah mempunyai tiga calon bagi jawatan Naib Presiden Umno.
“Kalau dari segi kelayakan dan pengalaman, saya memang sudah lama dalam Umno dan pernah memegang jawatan Ketua Penerangan Umno serta sudah meninjau kesemua 191 bahagian Umno di seluruh negara.
“Namun, saya tidak perlu menjadi seorang lagi calon Naib Presiden dari Johor. Apabila sudah terlalu ramai calon ia akan memecahkan undi,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Ahmad berkata, negeri-negeri lain setakat ini hanya menghantar seorang sahaja calon bagi merebut jawatan Naib Presiden.
“Perwakilan akan lihat siapa wakil daripada negeri yang hendak mereka pilih. Pihak di luar sana juga akan fikir mengapa ramai sangat, sedangkan negeri-negeri lain hanya hantar seorang sahaja calon.
“Setakat ini, lapan calon sudah menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden Umno di mana tiga calon dari Johor.
“Selebihnya dari Kedah iaitu Datuk Seri Mahdzir Khalid ; Pahang (Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail); Perak (Datuk Seri Johari Abdul Ghani); Pulau Pinang (Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican) dan Perak (Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir),” katanya. – Malaysiapost

