Ainul Mardhiah tidak pakai tiub pernafasan lagi

0
3

HANYA kalimah syukur Alhamdulillah layak diungkapkan susulan perkembangan positif Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin yang sebelum ini pernah dikesan menghidap kanser Germ Cell Tumor, kini sudah tidak perlu lagi memakai tiub pernafasan.

Perkembangan terbaharu Ainul ini diceritakan bapanya, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 28, yang tidak menyangka dapat melihat anak disayangi tidak lagi memakai tiub pernafasan sekali gus menjadi berita menggembirakan buat dirinya dan isteri, Nurul Erwani Zaidi, 28.

“Macam ini rupanya anak walid bila tak ada tiub di leher. Alhamdulillah,” kongsinya dalam satu hantaran Facebook miliknya.

Bagaimanapun Ahmad Safiuddin berkata, Ainul masih perlu berada dalam pemantauan dan pada Isnin ini perlu melalui beberapa prosedur untuk memastikan tiub boleh dicabut atau sebaliknya.

“Tapi buat masa ini, sudah sembilan jam Ainul tanpa trachy. Malam ini walid overtime (kerja lebih masa) tak tidurlah duk sebelah Ainul tengok Ainul okey tak okey,” katanya.

Kisah Ainul yang menderita ketumbuhan di mulutnya telah mendapat perhatian ramai pihak termasuk Dr. Nur Amalina Che Bakri yang membantu menjalankan pembedahan di London, United Kingdom (UK), bagi membuang tumor seberat 200 gram daripada mulutnya ketika kanak-kanak itu berusia sembilan bulan pada Jun 2019.

Namun pada tahun lalu, kesihatan kanak-kanak itu dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan agak tenat kerana komplikasi kesihatan, tetapi kembali pulih tidak lama kemudian. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here