BELANJAWAN 2023 dilihat masih tidak dapat memberi kesan jangka panjang yang positif bagi pemulihan industri perhotelan.
Presiden Persatuan Hotel Bajet & Bisnes Malaysia (MyBHA), Dr Sri Ganesh Michiel berkata pihaknya berterima kasih kepada kerajaan yang memperuntukkan RM250 juta hanya bagi mempromosi pelancongan serta usaha menyelesaikan kesesakkan jalan raya bagi kawasan tumpuan pelancongan.
Bagaimanapun katanya, pihaknya telah sering mengariskan perkara yang seharusnya dititikberatkan oleh kerajaan Malaysia dalam penyediaan bajet bagi tahun 2023.
Beliau berkata, pihaknya berharap agar ia dapat dipertimbang dalam membantu Industri perhotelan untuk bertahan dan pulih secara berperingkat pada tahun-tahun hadapan.
“Kami berasa kesal dan mendapati bajet tahun 2023 tidak dapat memberi kesan jangka panjang yang positif terhadap usaha pemulihan Industri perhotelan dan perlu ada suatu penambahbaikkan khusus dan khas bagi industri perhotelan dan pelancongan.
“Dalam mengembalikan keupayaan Industri perhotelan, kerajaan seharusnya berupaya untuk memperkenal suatu bajet yang lebih berkesan dalam menyelesaikan ancaman-ancaman industri.
“Serta mendapatkan kembali cukai-cukai yang telah hilang, ketirisan hasil akibat kegagalan mengambil tindakkan awal terhadap ancapan-ancaman industri perhotelan akibat ketiadaan undang-undang khusus untuk mengawal selia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Sri Ganesh berkata, pihaknya juga kecewa apabila tiada perubahan terhadap usaha untuk menaikkan Nilai Ambang Tahunan Cukai Perkhidmatan (SST) bagi Industri Perhotelan daripada RM500,000 kepada RM1,5 juta.
Ini kerana katanya, hotel bajet adalah suatu industri yang digunakan oleh golongan B40 yang telah disuarakan sekian lama.
Bagaimanapun, menurutnya, dalam mengembalikan keupayaan industri, kerajaan seharusnya berupaya memperkenal suatu bajet yang lebih baik, mesra dan berkesan bagi industri perhotelan secara khasnya dan industri pelancongan amnya.
Ini kerana jelasnya, ia merupakan suatu Industri berdaya maju yang telah terkesan dalam memastikan kelestarian dalam memacu pemulihan industri perhotelan pada 2023,” katanya. – Malaysiapost

