PENCERAMAH popular, Ustaz Azhar Idrus memaklumkan beliau terpaksa membatalkan kuliah maghrib yang sepatutnya berlangsung di sebuah masjid di Bukit Jelutong, Selangor, Ahad ini.
Sehubungan itu beliau yang dikenali sebagai UIA terpaksa menukar program tersebut ke masjid lain di Kuala Lumpur sambil memohon maaf kepada rakyat Selangor.
“Dukacita dimaklumkan bahawa kuliah maghrib perdana UAI yang akan diadakan di Masjid Tengku Ampuan, Bukit Jelutong pada 26 Febuari 2023 (Ahad) terpaksa dibatalkan atas kuasa Jabatan Agama Negeri Selangor (JAIS).
“Mohon maaf kepada rakyat Selangor kerana tidak dapat menyampaikan kuliah di negeri anda,” tulis pengendali Facebook Ustaz Azhar Idrus semalam.
Menerusi hantaran itu, Kuliah maghrib pada tarikh tersebut akan ditukarkan ke Masjid Ar-Rahimah di Kampung Pandan.
Perkongsian itu mendapat pelbagai reaksi daripada pengikut Facebook penceramah popular tersebut dengan ada yang kurang senang serta ada yang akur. – Malaysiapost

